Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA
TELUK INTAN 1 Jun - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong, yang dipilih sebagai wakil yang baharu di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan semalam berikrar bekerja untuk rakyat bermula hari ini.
"Ini satu kemenangan dalam pertandingan yang memang saya rasakan sungguh sengit. Tentulah perkara pertama yang akan saya lakukan esok (hari ini) adalah berjumpa dengan rakyat dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat," kata beliau, yang juga Presiden Gerakan.
Siew Keong ditemui selepas mengadakan sidang akhbar sebaik sahaja pengumuman rasmi dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ibrahami Ahmad di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib di sini malam tadi.
Siew Keong berkata, kemenangan berkenaan merupakan satu titik perubahan kepada parti Gerakan yang dipimpin oleh beliau.
"Ini adalah satu titik perubahan kepada Gerakan dan saya berasa bangga dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen sepanjang kempen ini berlangsung.
"Kerjasama yang erat inilah yang memberikan hasil kejayaan yang terbaik. Terima kasih kepada Perdana Meneteri, Timbalan Perdana Menteri dan pucuk pimpinan yang banyak memberi nasihat," katanya.
Pada PRK Teluk Intan yang berlangsung semalam, Siew Keong mendapat 20,157 undi dengan majoriti 283 undi mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud yang mendapat 19,919 undi. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140601/po_06/Perkara-pertama-hari-ini-ialah-bertemu-rakyat---Siew-Keong#ixzz33LXUYhKS
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment