Saturday, May 31, 2014

Perkara pertama hari ini adalah bertemu rakyat - Siew Keong


Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

TELUK INTAN 1 Jun - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong, yang dipilih sebagai wakil yang baharu di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan semalam berikrar bekerja untuk rakyat bermula hari ini.

"Ini satu kemenangan dalam pertandingan yang memang saya rasakan sungguh sengit. Tentulah perkara pertama yang akan saya lakukan esok (hari ini) adalah berjumpa dengan rakyat dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat," kata beliau, yang juga Presiden Gerakan.

Siew Keong ditemui selepas mengadakan sidang akhbar sebaik sahaja pengumuman rasmi dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ibrahami Ahmad di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib di sini malam tadi.

Siew Keong berkata, kemenangan berkenaan merupakan satu titik perubahan kepada parti Gerakan yang dipimpin oleh beliau.

"Ini adalah satu titik perubahan kepada Gerakan dan saya berasa bangga dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen sepanjang kempen ini berlangsung.

"Kerjasama yang erat inilah yang memberikan hasil kejayaan yang terbaik. Terima kasih kepada Perdana Meneteri, Timbalan Perdana Menteri dan pucuk pimpinan yang banyak memberi nasihat," katanya.

Pada PRK Teluk Intan yang berlangsung semalam, Siew Keong mendapat 20,157 undi dengan majoriti 283 undi mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud yang mendapat 19,919 undi. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140601/po_06/Perkara-pertama-hari-ini-ialah-bertemu-rakyat---Siew-Keong#ixzz33LXUYhKS 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, May 27, 2014

Pertukaran terbesar dalam sejarah Pegawai Tadbir Terengganu - MB Memahat Sejarah meminggirkan pegawai senior

Seramai 50 orang Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri akan bertukar ke jawatan baru yang akan berkuatkuasa pada 2 Jun ini.

Mereka yang terbabit dengan pertukaran itu ialah Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Dato' Haji Osman Muda akan mengisi kekosongan Pegawai Kewangan Negeri menggantikan Dato' Haji Mat Razali Kassim dan tempat beliau diisi oleh Pengarah Bekalan Air Negeri, Dato' Haji Wan Zahari Wan Ngah.

Manakala Pegawai Daerah Setiu, Haji Mohamad Nor Ibrahim ke jawatan Pengarah PTG yang baru dan tempat beliau diisi oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Haji Talaha Ali.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato' Haji Zulkifli Mohamad dipinjamkan ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Sdn. Bhd. dan tempat beliau diganti oleh Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman ke jawatan Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan Timbalan Pengarah (Pentadbiran dan Kewangan) Jabatan Kerja Raya (JKR), Haji Wan Mohd Rubi Wan Jusoh ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustafa Khalid ke jawatan Pegawai Daerah Kemaman manakala Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat Setiausaha Kerajaan, Encik Harun Mohamad ke jawatan Pengarah Bekalan Air Terengganu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato' Haji Mohd Yasim Awang ke jawatan Pengarah Yayasan Islam dan Timbalan Rektor (Jaringan Industri dan Korporat ) TATi Universiti Kolej, Haji Mohd Zulkifli Abu Bakar menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman.
Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin ke jawatan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan dan Perumahan) dan Pegawai Daerah Marang, Haji A.Rahman Che Ali pula ke jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Azmi Razik ke jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu Haji Samiun Salleh akan menjawat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) sementara Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Encik Ibrahim Mohamad ke jawatan Timbalan Pengarah (Pentadbiran dan Kewangan) JKR negeri.
Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan,Perumahan dan Tugas-tugas Khas) Haji Wan Mohamad Lotfi Wan Ismail ke jawatan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman dan Pengarah Urusan Percetakan Yayasan Islam Terengganu, Haji Zainal Abidin Mohamed ke jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Shahidan Embok bertukar ke Pendaftar TATi Universiti Kolej dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Sumber Manusia), Haji Mohd Zahari Md Azahar ke jawatan Timbalan Pengarah UPEN/Pengurusan Kanan Projek Pembangunan Kuala Nerus.

Ketua Pegawai Eksekutif T-ISSI Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil ke jawatan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Sumber Manusia) dan Ketua Pegawai YPUT, Haji Che Razali Adis ke jawatan Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut.

Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Encik Zulkifli Ali ke jawatan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu dan Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Haji Jahani Ismail menjadi Setiausaha MBKT.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Khidmat Pengurusan) Haji Johan Ibrahim bertukar ke jawatan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) dan Pendaftar TATi Universiti Kolej, Haji Che Suhaimin Mohamad ke jawatan Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun.

Pengurus Besar TESDEC Berhad, Haji Rozali Salleh pula ke jawatan Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MBKT dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Haji Azhar Jusoh ke jawatan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Khidmat Pengurusan).

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Program Khas Sukan - T-Team), Encik Ab. Rasid Jusoh ke jawatan Pengarah Majlis Sukan Negeri dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun, Haji Alias Mamat ke jawatan Setiausaha Majlis Daerah Kemaman.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Harta) Jabatan Baitulmal MAIDAM, Encik Ahmad Azizi Zulkifli ke jawatan Pengarah Jabatan Teknikal MAIDAM dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Encik Idham Mustafa ke jawatan Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Terengganu.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Encik Zahanapi Sagaf ke jawatan Setiausaha Majlis Daerah Besut manakala Setiausaha Majlis Daerah Besut, Encik Saidi Salleh ke jawatan Ketua Pegawai Operasi T-ISSI Terengganu.

Ketua Pegawai Operasi T-ISSI Terengganu, Haji Lukema Meri Salleh ke jawatan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Harta) Jabatan Baitulmal MAIDAM dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Projek-projek Khas), Encik Zuwislam Awang ke jawatan Pengurus Unit Transformasi Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Terengganu.

Ketua Penolong Pengarah (Bajet) UPEN, Encik Muhd. Aimin Mohd Tahir ke jawatan Timbalan Pengarah (Pentadbiran dan Kewangan) Institut Al-Quran Terengganu dan Pengurus Unit Transformasi, Pengurusan Prestasi dan Pelaksana, Encik Mohd Nasir Kasim ke jawatan Pengurus Projek Pembangunan Kuala Nerus.

Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Puan Maldiana Abd. Fatah ke jawatan Ketua Penolong Pengarah (Bajet) UPEN dan Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Projek-projek Khas) Puan Safura Mad Juhari ke jawatan Penolong Setiausaha Kerajaan (Tadbir Urus dan Pematuhan).

Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Program Khas Khas Sukan) Terengganu/Pengurus Kanan Operasi TPCT, Cik Rosini Sulong ke jawatan Penolong Pentadbir Tanah (Pendaftaran) Hulu Terengganu dan Penolong Pengarah (Pertanian dan Asas Tani) UPEN, Encik Wan Ahmad Firdaus Wan Abdullah ke jawatan Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengukuhan Integriti dan Pengurusan Aduan).

Penolong Pesuruhjaya (Pentadbiran dan Kewangan) MAIDAM, Encik Wan Mohd Firdaus Wan Sembok ke Penolong Pengurus (Pembangunan) Tourism dan Penolong Pengarah (UKOM) Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, Encik Muhamad Ridzuan Hashim ke jawatan Penolong Pengarah (Pertanian dan Asas Tani) UPEN Terengganu.

Penolong Pengarah (Media baru) Agensi Pembangunan Masyarakat, Raja Faisal Raja Harun ke jawatan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Hulu Terengganu dan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Hulu Terengganu Encik Mohd Fadli Jusoh ke Penolong
Pengurus Projek Pembangunan Kuala Nerus manakala Pegawai Tadbir Terengganu Incorporated Sdn Bhd., Puan Faten Ummaimah Saidi ke jawatan Penolong Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan) Marang.

Kebanyakan pegawai junior terpingga-pinga dan tertanya tanya apa yang telah terjadi kepada negeri ini? Apakah negeri telah jatuh kepada pembangkang? Operasi balas dendam? Atau tadbir urus yang sakit hati? Atau persiapan untuk negeri diambil alih oleh pembangkang dalam masa terdekat.
Pertukaran ini juga menyaksikan beberapa pegawai senior dipinggirkan termasuk Datuk Azlan Dagang, Datuk Razali Saleh dan lain-lain lagi.

Kerajaan sebelum ini mengambil kira kekananan dalam melantik jawatan Pegawai Kewangan Negeri. Datuk Mat Razali Kassim dilantik sebagai Pegawai Kewangan walaupun  6 bulan belum bersara. Sekiranya mengikut kekananan, Azlan sepatunya menjawat jawatan Pegawai Kewangan.

Friday, May 23, 2014

Pegawai Khas MB Terengganu kekal

May 23, 2014

KUALA TERENGGANU - Pegawai khas menteri besar yang dilantik di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) ketika pentadbiran menteri besar Terengganu yang terdahulu, kekal dalam jawatan mereka, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata garis panduan dan tugasan jawatan bagaimanapun akan dibuat bagi mengelakkan pertembungan peranan pegawai-pegawai khas itu dengan pegawai pembangunan Parlimen yang baru dilantik pada Rabu. 

"Kami tidak akan melakukan sebarang perubahan bagi pegawai khas menteri besar dan jawatan mereka akan dikekalkan seperti sebelum ini.

"...(Bagaimanapun) tugasan antara pegawai khas dan pegawai pembangunan akan dikenal pasti supaya tidak bertembung peranan dan mereka harus saling membantu. Inilah yang kita kehendaki demi kekuatan kerajaan," katanya. 

Pada majlis itu, menteri besar turut menunaikan Solat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi dan anggota jawatankuasa bahagian.

Ini berikutan skop dan tugas pegawai pembangunan Parlimen yang baharu ini meliputi semua, iaitu memudahkan urusan pentadbiran khususnya di kawasan-kawasan Dun dan Parlimen yang Barisan Nasional tewas, pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tahun lalu.

Pada majlis itu, menteri besar turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah antaranya bersama Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi serta beberapa anggota AJJKahli jawatankuasa bahagian. 

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah pun meluluskan peruntukan bantuan am berjumlah RM500,000 setahun bagi hal ehwal pembangunan untuk setiap kawasan Dun yang kalah kepada pembangkang bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Pada Rabu, Ahmad Razif mengumumkan pelantikan tiga Ketua Umno Bahagian iaitu Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi, Ketua Umno Bahagian Dungun Datuk Din Adam dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus Datuk Basir Ismail serta Ketua Umno Bahagian Marang A Latif Awang sebagai pegawai pembangunan Parlimen di kawasan masing-masing. 

Keempat-empat kawasan Parlimen berkenaan di Terengganu dikuasai pembangkang. - Bernama

Kemarau panjang sebabkan bekalan air jadi payau

Musim kemarau berpanjangan yang melanda Terengganu ketika ini telah menyebabkan kemasukan air masin ke muka sauk Loji Rawatan Air Losong kerana paras air sungai lebih rendah dari paras air laut.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) Husain Embong berkata, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) bahawa musim Monsun Barat Daya iaitu musim kering bermula pada pertengahan Mei yang berterusan hingga September ini.

"Jadi kesan fenomena itu telah dirasakan di daerah ini apabila paras air pasang yang tinggi telah menyebabkan berlaku kemasukan air masin ke muka sauk Loji Rawatan Air Losong," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam keadaan normal bacaan paras kepekatan garam dalam kualiti air mentah berada di bawah 50 PPM (bahagian per juta), kata Husain.

Beliau berkata, mengikut piawaian antarabangsa dan Kementerian Kesihatan, apabila paras bacaan kepekatan garam dalam kualiti air mentah melebihi 250 PPM, proses rawatan air perlu dihentikan.

Namun katanya, SATU masih meneruskan operasi loji itu bagi memastikan bekalan air dapat diterima oleh pengguna secara berterusan walaupun rasanya kurang selesa.

Beliau berkata, bekalan air dari Loji Rawatan Air Losong disalurkan kepada hampir 200,000 pengguna melibatkan kampung-kampung seperti Losong, Durian Burung, Paloh, Pulau Rusa dan beberapa desa di sekitarnya.

Katanya, SATU sentiasa berusaha dan sedang memantau secara rapi perkara ini dan proses rawatan air dikurangkan pada paras kepekatan garam dalam air mentah yang tinggi.

Menurutnya lagi, SATU juga sedang berunding dengan Stesen Janakuasa Elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) Tasik Kenyir untuk melepaskan kuantiti air lebih banyak bagi mengimbangkan paras kepekatan garam dalam air mentah di muka sauk.

"Namun perkara ini agak sukar dilakukan kerana ianya bergantung kepada pengoperasian empangan dan penjanaan tenaga oleh TNB," katanya.

Beliau berkata, SATU tidak boleh menentukan atau menjangkakan tempoh ketidak selesaan pengguna  kerana ianya adalah di luar kawalannya dan bergantung kepada faktor cuaca.

Hanya bekalan air dari Loji Rawatan Air Losong sahaja yang menghadapi masalah ini sementara operasi pembekalan air di daerah-daerah lain masih stabil dan berjalan seperti biasa samada dari segi kuantiti dan kualiti air yang dibekalkan, katanya.

Loji Rawatan Air Losong mengeluarkan air sebanyak 33.2 juta liter air sehari dan ia beroperasi 24 jam tanpa henti bagi membekalkan air terawat kepada pengguna dengan selesa.